Tarbiyyah menjadikan aku miskin.

Tarbiyyah::..                         ..::Miskin

Jika tarbiyyah menyebabkan aku miskin dunia maka aku tiada jalan lain selain menerimanya

Jika tarbiyyah memberikan seribu satu kepayahan dunia
maka aku lebih dari redha

Jika tarbiyyah meletihkan dan memenatkan
maka jiwa dan raga aku serahkan

Kerana aku yakin dan pasti
dengan janji kekasihku
pertemuan agung
di syurga
NYA.

 

Kadangkala apabila mendengar keluhan dan rintihan orang yang tidak sanggup menjadi miskin dan papa dunia kerana dakwah dan tabiyyah, diri penulis menjadi tidak keruan. Cukup sedih dan kecewanya hati ini.

Adakah kita masih mahu mengejar kaya harta dunia semata?

Dikala perlu memilih antara kaya dunia dan kaya akhirat,   adakah masih ada pertimbangan mana yang mahu dipilih?

 Benar. Idealnya kita boleh mengejar keduanya. Kita mahu kaya di akhirat dan pada masa yang sama juga mengejar kaya dunia. Islam tidak pernah menafikannya. Malah Islam menghalang kita dari hidup dalam kemelaratan dan meminta-minta.

Tapi apa yang dibicarakan di sini adalah kita tidak mahu harta kekayaan dunia itu lekat kukuh di hati kita. Biarlah ianya sekadar di tangan. Akan dilepas bila-bila masa apabila diperlukan. Akan dihulur tanpa perlu difikir beberapa kali. Kerana tujuannya sudah pasti. Pengorbanan untuk meraih redhaNya.

Lihatlah kisah Mus’ab bin Umair yang lincah berdakwah di bumi Madinah hingga mereka mampu menerima Rasulullah untuk dibina Daulah Islamiyah yang pertama. Mus’ab bukanlah calang-calang orangnya. Kelurganya keluarga berada. Pakaiannya indah. Wangi-wangiannya harum. Hatta Rasulullah saw sendiri mengakui betapa Mus’ab telah dimanjakan oleh ibu-bapanya tanpa ada tandingan di Makkah itu.

Tapi lihatlah. Bagaimana para sahabat yang sedang bersama rasulullah tunduk malu dan menitiskan airmata apabila Mus’ab hadir dengan pakaian yang sudah lusuh! Mus’ab meninggalkan segala bentuk kekayaan dan kemewahan hanya kerana ingin bersama kabilah ini. Kerana ingin menjadi salah satu tangan yang mahu memenangkan agama Allah.

Malah kematian as-syahid ini juga sungguh menyentuh hati. Sedang suatu ketika hidupnya dulu dia adalah seorang remaja yang sungguh tampan yang dihiasi dengan pakaian dan bauan yang mahal. Namun ketika syahidnya, hanya ada sepotong kain kecil yang boleh digunakan sehingga Rasulullah mengajar sahabat agar bahagian atas ditutup dengan kain manakala bahagian kakinya ditutup dengan idhkir (sejenih daun-daunan-> setengah translator mengatakan lemon grass.)

Hayati pula kisah Saidina Abu Bakr r.a. Dia juga bukan calang-calang orangnya. Seorang saudagar kaya yang tidak henti-henti menginfakkan hartanya. Lihat sahaja pengorbanan hartanya ketika persiapan perang Tabuk. Diserahkan segala hartanya demi kemenangan Islam. Dan hanya meninggalkan Allah dan Rasul sebagai bekalan kepada isteri dan anak-anak!

Harta dunia diserahkan. Harta Akhirat menjadi bekalan.

Yang dicanang bukanlah mahukan kemiskinan. Bukan juga mencari kesusahan dan kehinaan tanpa tujuan. Tetapi mahukan perlumbaan berkorban. Perlumbaan berkorban!

Usahalah. Carilah. Segala kekayaan harta dunia. Tetapi jangan lupa untuk menginfaq sebanyak mungkin kepada Islam. Kerana dakwah kita hanya ada kita dan ALLAH. Allah boleh sahaja memenangkan agamanya tanpa kita. Namun biarlah kita tunjukkan kesungguhan kita dalam meraih cinta dan redhaNya.

Jika kita tidak mampu menjadi sehebat Abu Bakr dan Mus”ab. Kenapa tidak kita mencontohi jalan mereka?

 

2 Responses

  1. semoga kita sama sama kekal di dalam jalan ini.bowling??jom..rumah aku ada yang murah.hehe

  2. salam..jazakallah for the reminder…moga teguh di jalan ini..miskin dunia takpe,nanti kita sama2 kaya kat ’sana’ k:)
    Insyaallah..berusaha,cahyo2!!

Leave a Reply